TENGOK ! 7 jenis penipuan kewangan yang bahaya, ( kad kredit, Ah Long, dll )

Dalam kehidupan kita seharian, kebijakan merancang dan menguruskan kewangan adalah unsur penting membentuk keluarga sejahtera dan stabil. Kata orang, wang bukan segala-segalanya tetapi ia ada berkait secara langsung dengan kesejahteraan bagi memenuhi keperluan asas dalam kehidupan. Bagi kebanyakan penduduk di Malaysia mahupun di seluruh dunia, anda mungkin mempunyai simpanan yang berjumlah antara ribuan hingga jutaan ringgit. Simpanan ini boleh dijadikan sebagai dana untuk membuat perancangan persaraan anda. Namun jika pelaburan dibuat untuk menggandakan wang, pelbagai aspek perlu diperhatikan agar tidak terjerat di kemudian hari.
Di negara Malaysia, pihak Bank Negara Malaysi (BNM) amat memandang berat terhadap skim kewangan haram dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan penipuan kewangan dan yang menggalakkan skim kewangan haram sedemikian. Sejak dahulu lagi, terdapat ribuan skim penipuan yang melibatkan kewangan.
1. Penipuan mangsa kad kredit
Mangsa akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan kononnya satu urus niaga telah digunakan ke atas kad kredit mangsa di sebuah premis perniagaan. Mangsa diminta untuk menghubungi nombor yang diberikan bagi tujuan pengesahan dengan segera. Mangsa yang panik akan cuba menghubungi nombor yang diberikan.

2. Taktik penipuan panggilan telefon
Sindiket penipuan yang didalangi oleh warga tempatan dan warga asing ini, membuat panggilan telefon secara rambang dengan mendakwa mewakili sebuah institusi kewangan. Panggilan tersebut bertujuan bagi membuat pengesahan transaksi kad kredit yang kononnya milik anda. Taktik ini digunakan untuk memperdaya mangsa dengan membuat arahan pemindahan wang ke suatu akaun dan boleh menyebabkan kerugian berjumlah ribuan ringgit.

3. Penipuan pinjaman bank
Pengguna perlu berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana iklan yang dipaparkan, sama ada menggunakan poster yang ditampal di tempat awam atau risalah yang diedarkan di peti pos rumah dan kenderaan. Pada masa sekarang pun juga sudah banyak pinjaman wang berlesen menggunakan promosi di Facebook dan Instagram.

4. Penipuan Ah Long
Ah Long atau pemberi pinjaman tidak berlesen ini memberi pinjaman wang secara haram dan mengenakan bunga yang sangat tinggi. Mereka akan bertindak ganas sekiranya pinjaman tersebut tidak dibayar. Individu ini lebih dikenali dengan panggilan Ah Long atau ceti haram yang mengucapkan kata-kata manis sebelum mangsa membuat pinjaman. Pada masa sekarang Persatuan Pengguna Islam Malaysia sangat aktif membanteras Ah Long ini.

5. Skim Ponzi
Skim ini selalunya berfungsi mengikut sistem piramid, iaitu wang yang diterima daripada ahli baru akan digunakan untuk membayar ahli sedia ada. Apabila tiada lagi ahli baru, maka seluruh skim akan gagal. Skim Penipuan Ponzi selalunya menggambarkan bahawa skim mereka adalah peluang pelaburan yang menguntungkan tanpa risiko.

6. Penipuan Harta Wasiat
Anda dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai apa-apa e-mel yang menyatakan anda sebagai pewaris harta berjuta-juta USD mahupun Euro kepada seseorang yang tidak dikenali. Anda mungkin salah seorang daripada mangsa seterusnya. Modus operandi akan meminta anda membayar sejumlah wang untuk ‘dana’ tersebut dilepaskan kerana dalam jumlah yang besar dari luar negara.

7. Hadiah Wang Tunai Melalui SMS
SMS ini sudah pasti ramai yang terima. Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan khidmat pesanan ringkas yang menyatakan anda memenangi hadiah wang tunai berjumlah ribuan ringgit daripada syarikat minyak, minuman atau telekomunikasi terkenal di Malaysia.

Peringatan untuk elakkan wang lesap

Bank Negara Malaysia telah banyak kali mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai skim yang menjanjikan pulangan, kadar faedah atau keuntungan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah. Orang ramai perlu memastikan yang mereka tidak menjadi mangsa skim. Tindakan penguatkuasaan bersama terhadap skim kewangan haram skim ini dengan merujuk kepada Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.
Diberdayakan oleh Blogger.